Seperti hari semalam, saya mulakan hari ketiga percutian di Pulau Pangkor dengan sarapan pagi. Kali ini, tak ada mood nak ambil gambar.
Masuk je dekat tempat makan, pilih-pilih makanan lepas tu terus makan je. Yang pasti menu hari ini tak sama dengan menu semalam.
Hari ketiga di Pulau Pangkor, adalah hari untuk saya check out. Selesai makan, terus naik ke bilik dan kemas-kemas apa yang patut. Kalau tak silap saya, kami kena keluar dari bilik paling lewat jam 11.00 pagi.
Selesai kemas barang, saya terus check out. Lepas tu kami minta staf hotel untuk tolong tengok-tengokkan bagasi yang kami bawa. Masa masih awal, jadi di kesempatan yang masih berbaki ni, kami plan nak pusing-pusing sekitar pulau dan lawat beberapa tempat menarik yang sebelum ini kami tak sempat nak singgah.
Ada tiga tempat yang saya nak singgah.
i. Masjid Al Badr Seribu Selawat atau dikenali juga dengan nama masjid terapung
ii. Batu Bersurat
iii. Kota Belanda ataupun Dutch Fort.
Mana satu yang saya akan pergi dulu, itu bergantung kepada tempat apa yang saya akan lalu terlebih dahulu. Saya pun rasa agak pelik sebab seingat saya, semalam masa saya jalan-jalan naik motor, saya tak nampak pula ada signboard yang menunjukkan tempat-tempat yang saya nak pergi ini ada berhampiran.
Maknanya semalam ada bahagian Pulau Pangkor ni yang saya masih belum habis jelajah.
Cuaca pagi tu sangatlah baik. Baru pukul 10 lebih, tapi dia punya panas… Ya Allah. Saya pula lupa nak pakai baju lengan panjang. Habislah terbakar la tangan. Masa ini hanya berharap pada sunblock yang saya pakai dan berharap semoga ia mampu untuk buat kerja dengan baik.
Biasa kalau pergi bercuti dekat tempat-tempat yang panas, saya memang akan guna sunblock SUNPLAY Sport Sunscreen dengan SPF120 ini.
Akhirnya, destinasi pertama yang saya kunjungi adalah Masjid Al Badr Seribu Selawat
Masjid Al Badr Seribu Selawat ini juga dikenali dengan nama masjid terapung. Masjid ini merupakan salah satu tempat yang menjadi tarikan untuk dikunjungi oleh pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Ya, even yang non-Muslim juga dialu-alukan untuk datang dan masuk ke masjid ini.
Mengunjungi Masjid Terapung Al Badr Seribu Selawat ini membuatkan saya teringat pada pengalaman saya yang lalu ketika mengunjungi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (dikenali juga dengan nama Masjid Terapung Likas). Terdapat sedikit persamaan antara kedua-dua masjid ini, iaitu konsep pembinaannya yang seperti terapung diatas permukaan air.
Bila saya dapat tahu yang dekat Pulau Pangkor ini juga ada Masjid Terapung, maka saya terus buat keputusan untuk datang singgah ke tempat ini. Even kalau cuma dapat luangkan masa sekejap sahaja pun ok. Saya teringin nak tahu, apa keunikkan yang terdapat di masjid ini yang mungkin tak ada ditempat lain.
Kenderaan milik persendirian tak dibenarkan untuk dibawa masuk ke kawasan perkarangan masjid. Saya park dulu motor dekat tepi jalan lepas tu berjalan masuk ke kawasan masjid.
Boleh tahan jauh juga nak kena jalan dari pintu gerbang ke pintu masuk masjid. Tapi tak apa, setiap langkah yang kita lalui untuk menuju ke rumah Allah kan dikira sebagai pahala.
Masa nak masuk tu, saya diminta untuk isi nama pada buku pelawat. Maklumlah, saya datang bukan pada waktu solat, jadi dah tentulah saya ini dikira sebagai pelawat.
Saya sampai dekat masjid ini pada pukul 11.00 pagi. Dalam masa kurang dari 3 jam, masjid ini akan dikunjungi para jemaah yang akan mendirikan solat fardhu Jumaat.
Ini pula adalah pintu masuk untuk ke ruang solat utama.
Kalau saja-saja masuk nak ambik gambar, rasa macam tak patut pulak, kan?
Jadi, saya cadangkan anda yang nak melawat masjid ini, silalah berniat iktikaf, ambil wudhu dan dirikan solat sunat tahiyatul masjid.
Lepas dah solat tu, sambil-sambil zikir, berdoa tu bolehlah ambil gambar mana-mana yang anda rasa berkenan.
Uniknya masjid ini, terdapat banyak kaligrafi potongan ayat alquran dan selawat di dinding masjid.
Dekat bahagian bumbung juga terdapat kaligrafi.
Saya tak dapat nak duduk lama-lama dalam ni. Selesai apa yang patut, dah puas melihat-lihat kawasan sekitar, bolehlah beredar ke lokasi seterusnya.
Oh ya, sebelum terlupa, sebelum nak keluar tu, carilah tabung masjid dan sedekahlah berapa-berapa yang anda mampu.
Balik dari masjid, saya terus singgah ke Batu Bersurat.
Apa cerita disebalik Batu Bersurat di Pulau Pangkor ini ya?
Kalau kita pusing-pusing sekitar batu bersurat ini, kita tak akan menemui sebarang papan tanda atau sebarang nota yang menceritakan rahsia di sebalik kewujudan batu bersurat ini.
Kalau anda serius nak tahu cerita disebalik batu bersurat ini, kena tanya pada orang tempatan. Itupun cerita yang bakal kita perolehi mungkin ada macam-macam versi.
Kalau melihat pada ukiran yang terdapat pada batu bersurat ini, ada beberapa perkataan yang kita boleh baca, misalnya perkataan IF CRALO 1743.
Beberapa huruf-huruf yang terdapat pada batu ini seperti ‘IK’, ‘R.O’, ‘BVH’, ‘PVL’, ‘VM’, ‘PP’ sebenarnya mungkin mewakili nama singkatan individu yang bertanggungjawab memahat dan membuat ukiran pada batu ini.
VOC pula merujuk kepada Verenidge Oon Stindische Company iaitu Syarikat Hindia Timur Belanda. Rujuk balik dalam buku sejarah sekolah menengah, ada dimasukkan silibus tentang Syarikat Hindia Timur ini.
Kemudian ada juga ukiran seekor binatang menyerupai seekor harimau yang sedang membawa sesuatu. Saya lebih cenderung untuk setuju dengan pendapat yang ukiran tersebut sebenarnya adalah seekor singa, bukannya harimau.
Orang yang ukir batu tu, mungkin nak ukir lambang macam kat atas ni. Tapi disebabkan ukir dekat batu mungkin susah, dan si tukang ukir bukannya pakar, maka bentuknya nampak berbeza. Ekor haiwan pada batu tu, lebih menyerupai ekor singa, kan.
Boleh google kata kunci “Dutch coat of arm” dan akan keluar lambang tersebut.
Tak berapa jauh dari Batu Bersurat, terletaknya Kota Belanda atau Dutch Fort.
Tempat ini agak sunyi dan waktu saya sampai, tak ada pengunjung lain yang ada disini. Tak taulah mungkin sebab waktu tu agak panas ataupun memang tempat ini tak berapa popular dalam kalangan pengunjung yang datang ke Pangkor.
Dekat sini kita boleh lihat kesan tinggalan sejarah oleh penjajah Belanda satu ketika dulu.
Ada ukiran yang menarik dekat sini.
Sama ada ukiran ini ada maksud tertentu atau tidak, saya tidak tahu.
Pada tahun 1670, Kota Belanda ini dibina oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) untuk menyimpan bijih timah yang diperolehi dari negeri Perak.
Pada tahun 1690, rakyat tempatan yang tidak bersetuju dengan cara Belanda memperolehi bijih timah tersebut telah melakukan pemberontakkan dan telah membinasakan kota ini .
Selepas dimusnahkan, pada tahun 1749 Belanda telah membinanya semula dan menempatkan seramai 80 orang pengawalnya di sini.
Selepas tahun 1779 Kota Belanda tidak digunakan lagi kerana Belanda menumpukan kepada perdagangan rempah di Maluku, Indonesia. Belanda juga berhadapan dengan Perang Napoleon di Eropah.
Pada 1824 Belanda dan Inggeris secara rasmi membahagikan wilayah penguasaan masing-masing di Nusantara menerusi Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. (sumber wikipedia)
Kalau cuaca tak berapa panas, mungkin saya akan duduk lebih lama dekat sini. Patutnya datang ke sini lewat petang, baru redup. Tapi kan hari ini merupakan hari terakhir saya berada di Pangkor, jadi nak tak nak memang kena datang waktu ini juga.
Kawasan dia agak luas. Dekat bahagian belakang ini pun ada tempat yang menarik untuk kita lihat. Di sekeliling Kota Belanda ini sebenarnya ada kedai-kedai yang menjual produk kraftangan dan cenderahati.
Pada masa saya datang ini, hanya satu kedai sahaja yang buka.
Baiklah, selesai urusan dekat Kota Belanda, saya terus balik ke Teluk Nipah. Benda pertama saya buat, saya pulangkan semula motosikal yang disewa.
Lepas tu jalan kaki sampai ke Anjungan Beach Resort dan terus call teksi untuk datang ambil.
Saya masih ingat lagi, semalam masa saya tanya staf dekat kaunter, macam mana nak dapat teksi, dia kata boleh tolong call. Tapi hari ini bila saya datang semula dan minta tolong call teksi, dia cuma bagi nombor telefon dan suruh call sendiri.
Eh semalam cakap lain. Agaknya sebab saya dah check out la kot. Not a customer anymore, sebab tu kot?
Dekat Teluk Nipah ini sebenarnya ada stesen teksi. Kita boleh je kalau nak jalan kaki sampai ke stesen tu. Tapi cara yang lebih mudah adalah suruh je driver teksi datang ambil di hotel.
Caj teksi dari Anjungan Hotel untuk balik ke Jeti Pulau Pangkor sama harga macam waktu datang tempoh hari, iaitu RM16.
Kalau ikut waktu awal, saya pilih waktu balik ke Jeti Lumut pukul 2.15 petang. Tapi saya rasa waktu tu macam lambat sangat.
Saya dah plan nak minta awalkan waktu. Andai kata staf situ kata tak boleh adjust waktu, tak apalah saya beli tiket baru, asalkan boleh keluar dari Pulau Pangkor. Kalau nak tunggu sampai pukul 2 pun macam tak ada benda nak buat selain duduk dekat Jeti.
Alhamdulillah, lepas deal dengan staf yang jaga kaunter, tiket feri kami boleh diawalkan. So kami naik feri pukul 1.00 petang.
Sampai dekat Lumut lebih kurang pukul 1.30 petang. Atau mungkin lebih awal. Saya masih ingat lagi, waktu tu azan Zohor sedang dilaungkan dari masjid berhampiran.
Plan asal, sampai je dekat Lumut, nak simpan beg dalam kereta lepas tu terus shopping. Belilah sedikit buah tangan untuk bawa balik ke KL.
Kemudian saya rasa tak sedap hati. Maklumlah, waktu tu orang lelaki semua sedang bergegas ke masjid untuk menunaikan solat jumaat, tak kan saya nak pergi shopping pula.
Kang nanti menimbulkan fitnah pula. Lagipun bukannya semua orang tahu, yang saya ni dalam musafir.
Mujur masjid tak jauh dari tempat parking kereta bertingkat. Boleh jalan kaki sahaja. Ada banyak juga hadis yang saya pernah baca berkenaan dengan fadhilat berjalan kaki ke masjid, yang mana setiap langkah tersebut akan dicatat sebagai satu kebaikkan.
Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya
“Sesiapa yang bersuci dirumahnya, kemudian keluar berjalan menuju salah satu rumah Allah untuk menunaikan kewajipan yang telah Allah tetapkan, maka sebahagian langkahnya akan menjadi sebab penghapus dosa, sedang langkahnya yang lain akan menjadi penyebab ditingkatkan darjatnya” (Riwayat Muslim no.666)
Sambil jalan tu, sempat jugalah saya bertanya dengan Mufti Wilayah dan Mufti Negeri Sembilan (melalui laman web mereka) tentang persoalan boleh atau tidak kalau nak jamakkan solat Jumaat dengan Solat Asar.
Jawapannya, memang boleh.
Saya memang dah tahu jawapannya, cuma nak ulang baca dan untuk mantapkan lagi keyakinan. Wallahua’lam.
Solat Jumaat bukannya lama sangat pun. Lebih kurang setengah jam, selesai. Lepas tu bolehlah shopping dengan aman dan tenang, tanpa perlu risau apa orang lain nak kata.
Dekat Pangkor dan Lumut ini, popular dengan ikan bilis bermata biru.
Khabarnya, ikan bilis mata biru ni lebih istimewa sebab dia lebih sedap.
Betul ke tidak? Cubalah beli sikit. Nanti bila dah goreng, tahulah rasa dia macam mana.
Bagi saya pula, bilis mata biru bukanlah satu prioriti.
Saya nak cari sotong sebenarnya. Sotong gula, sotong lemon dan lain-lain jenis sotong. Harga kat Lumut ini lebih murah kalau nak bandingkan dengan harga kat luar.
Dekat kedai ini, barang-barang dijual dengan harga yang tak terlalu mahal. Ada yang 3 barang RM10, dan ada juga yang 4 barang RM10. Bezanya adalah dari segi berat dan kuantiti.
Apa yang lagi best, bila dah kira semua, penjual kat sini siap bagi extra diskaun lagi, belum sempat saya nak minta.
Untuk pengetahuan anda, kat sekitar Lumut ini ada banyak kedai yang menjual hasil laut, bilis mata biru dan juga sotong.
Tapi saya pilih kedai yang bernama Hasil Laut Jamilah ini.
Beli barang bernilai RM20.00 keatas ada dapat percuma cenderahati lagi.
Waktu saya sedang sibuk ambil gambar, akak yang jaga kedai ini sempat lagi pesan, dia minta tolong promosikan kedai dia ni dekat kawan-kawan yang nak datang ke Pangkor atau ke Lumut. Kedai ini baru dibuka sebenarnya.
“Ha.. ye la kak… ni saya dah mention kedai akak dekat posting ini. Mudah-mudahan nanti ada yang baca perkongsian pengalaman saya bercuti di Pulau Pangkor, dan mereka datang singgah ke kedai akak ya…”
Berakhirlah sudah travelog percutian saya ke Pulau Pangkor sebagai pembuka tirai tahun 2020 ini. Mudah-mudahan diberikan rezeki untuk sekali lagi menjejakkan kaki ke Pulau Pangkor.
Erm… rasa macam nak kena datang sekali lagi ni. Stok sotong pun dah tinggal sikit. Menyesal pulak beli sikit je tu hari… haish.
Apa pun, saya ucapkan selamat bercuti ke Pulau Pangkor. Mudah-mudahan apa yang saya kongsikan dalam travelog ini, bermanfaat untuk anda.
Rujukan
(1) Wikipedia – Kota Belanda
https://ms.wikipedia.org/wiki/Kota_Belanda
(2) OrangPerak – Sejarah Kota Belanda
https://www.orangperak.com/sejarah-kota-belanda-di-pulau-pangkor. html
(3) Isu Jamak Solat Jumaat dengan asar – Mufti Wilayah
https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1256-al-kafi-365-isu-menjamak-solat-jumaat-dengan-fardu-asar
(4) Jamak Solat Jumaat dengan Asar – Mufti Negeri Sembilan
https://www.muftins.gov.my/v1/en/2019/06/24/solat-jamak-taqdim-solat-jumaat-dan-asar/
(5) Kitab Ringkasan Riyadhus Solihin
Hadis mengenai fadhilat berjalan kaki ke Masjid
(6) Malaysia Traveller – Dutch Fort
https://www.malaysia-traveller.com/dutch-fort-pangkor. html
Leave a Reply