Apa yang menarik di Kota Bharu, Kelantan?
Sebelum kita bercerita mengenai tempat menarik di Kota Bharu yang sering menjadi tumpuan pengunjung, apa kata kita ketahui serba sedikit mengenai latar belakang tempat ini.
Kota Bharu atau biasa disebut dengan singkatan KB, merupakan ibu negeri Kelantan, Malaysia. Bandar ini mula dibuka pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II pada tahun 1844, dan merupakan bandar tertua di sebelah pantai timur Semenanjung Malaysia. Bandar ini terletak tidak jauh dari muara Sungai Kelantan.
Kota Bharu juga menjadi pusat pentadbiran dan perniagaan negeri Kelantan. Disini terdapat banyak pasar dan bazar yang dibangunkan bagi merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi.
Percutian ke Kota Bharu pastinya dapat memberikan pengalaman manis yang begitu berharga. Dekat sini, anda boleh menikmati pelbagai jenis menu juadah tradisional yang sedap-sedap, shopping sepuas-puasnya dan menikmati keindahan pantai-pantai yang terdapat disini.
Senarai tempat menarik di Kota Bharu
Tanpa membuang lebih banyak masa, mari saya kongsikan antara tempat-tempat best yang anda boleh kunjungi sepanjang percutian ke Kota Bharu.
1. Street Art Kota Bharu
Bagi mereka yang meminati karya seni yang menonjolkan budaya sesuatu tempat dan masyarakat, ini merupakan satu destinasi yang patut anda kunjungi apabila bercuti di Kota Bharu.
Lokasi Street Art Kota Bharu ini adalah di Medan Ilmu Kota Bharu, Jalan Dato Pati, Bandar Kota Bharu.
Tema lukisan mural yang dipaparkan adalah berlatarbelakangkan suasana dan keadaan di negara Palestin yang sedang bergolak. Seperti yang anda boleh lihat, ketika waktu aman, penduduk Palestin dapat menceburi pelbagai bidang seperti kebudayaan, seni, sukan dan sebagainya.
Namun akibat serangan demi serangan oleh Zionis, suasana mulai berubah.
Keamanan yang pernah dikecapi hilang begitu sahaja dan yang ada hanyalah darah dan air mata.
Lukisan-lukisan mural yang bertemakan Palestin ini adalah sebagai simbolik bahawa kita di Malaysia tak pernah melupakan saudara seagama kita yang sedang diuji dinegara mereka. Walaupun kita mungkin tak mampu untuk berjuang membantu saudara Islam kita disana, namun kita masih lagi mampu memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit melalui tabung-tabung sumbangan yang diiktiraf dan juga kiriman doa.
Jika anda berada di Kota Bharu, bolehlah singgah sebentar dan bergambar di Street Art ini. Tema street art ini mungkin akan berubah pada masa akan datang.
Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke tempat ini, dan anda boleh luangkan seberapa banyak masa yang anda perlukan disini. Saya syorkan anda luangkan sekitar 30 minit ke 45 minit disini.
2. Muzium Negeri Kelantan
Cuaca di Kelantan adakalanya agak panas. Ada ketikanya hujan turun dengan agak lebat. Kalau nak lakukan aktiviti outdoor dalam keadaan cuaca seperti itu, mungkin kurang sesuai.
Jadi, apa kata anda kunjungi satu tempat tarikan yang ada di Kota Bharu, iaitu Muzium Negeri Kelantan.
Satu informasi yang saya perolehi apabila mengunjungi muzium ini.
Bangunan ini telah didirikan dalam tahun 1930an sebagai Pejabat Tanah kota Bharu dan kemudiannya menjadi Pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu. Dalam tahun 1990 pengubahsuaian telah dilakukan untuk menjadikan bangunan ini sebagai Balai Pameran dan Pejabat Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
Di Muzium ini dipamerkan tentang sejarah Negeri Kelantan dan kebudayaan seperti wayang kulit, mak yong dan alat-alat muzik tradisional secara umum dan satu ruang legar yang khusus untuk pameran sementara yang diadakan dari masa ke semasa.
Bagi anda yang meminati sejarah dan ingin mengetahui latar belakang negeri Kelantan dengan lebih dekat, maka kunjungan ke muzium ini adalah satu tindakan yang paling tepat.
Muzium Negeri ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan pada 6 Ogos 1990.
Satu perkara yang saya rasa unik dengan muzium ini ialah didalamnya terdapat pameran replika Gua Cha yang pernah menjadi kawasan penempatan awal di Negeri Kelantan.
Gua Cha didalam erti kata sebenarnya, bukanlah satu gua, tetapi adalah batu lindungan atau “Rock Shelter” yang terletak di utara Sungai Neggiri di Ulu Kelantan, kira-kira 16KM kehilir kampung Kuala Betis, Gua Musang yang merupakan kawasan penempatan yang paling awal di negeri Kelantan.
Dari kajian dan ekskavasi yang telah dijalankan di Gua Cha oleh G de G Sieveking pada tahun 1954 dan oleh Dato’ Dr. Adi bin Taha tahun 1979 dapat dirumuskan bahawa kira-kira 10,000 hingga 3,000 tahun dahulu Gua Cha telah diduduki oleh masyarakat zaman Pra Sejarah iaitu “Hoabinhian”. Masyarakat ini bergantung kepada aktiviti mengumpul tumbuhan liar dan memburu haiwan untuk sara hidup seharian. Kemudian kira-kira 3,000 tahun masyarakat Neolitik atau zaman batu baru telah mendiami kawasan ini. Perbezaannya hanya akibat perubahan corak hidup dan pencapaian teknologi dimana masyarakat Neolitik lebih tinggi keupayaan dan pencapaian teknologi berbanding daripada masyarakat sebelumnya.
Besar kemungkinan terdiri dari moyang masyarakat orang asli sekarang iaitu Semang/Negrito diutara Gua Cha dan Senoi (Temiar) yang tinggal di Kampung Kuala Betis, Gua Musang. Orang Asli ini bertutur dalam bahasa yang digolongkan sebagai Moh & Khmer (Burma/Kambodia) dan bahasa-bahasa yang ada kaitan dengannya iaitu Austro-Asiatik (termasuk Vietnam) yang pernah digunakan oleh masyarakat diserata Tanah Besar Asia. Penggunaan bahasa ini terhapus atau diserap kedalam bahasa Thai dan Melayu.
Manakala masyarakat Melayu (Austronesia) dan masyarakat yang berada di Malaysia sekarang dipercayai telah datang kira-kira 2,000 hingga 3,000 tahun yang lalu dari kepulauan Indonesia. Kesimpulannya, zaman Pra-sejarah Gua Cha adalah berkait rapat dengan sejarah 0rang-orang asli dan bukannya sejarah masyarakat melayu di Malaysia.
Pengunjung yang berminat untuk masuk ke muzium dan melihat sendiri galeri pameran akan dikenakan bayaran masuk sebanyak RM2 sahaja.
3. Istana Jahar, Kota Bharu (Muzium Adat-Istiadat Diraja Kelantan)
Muzium Adat-Istiadat Diraja Kelantan dikenali dengan nama Istana Jahar kerana rekabentuk senibina tradisional melayu Kelantan.
Muzium ini pada asalnya merupakan Istana Raja Bendahara Long Kundur Bin Sultan Ahmad, ia dibina pada tahun 1887. Istana ini juga pernah menjadi tempat persemayaman beberapa sultan yang memerintah termasuk Almarhum Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad IV (1920 – 1944).
Di sini dipamerkan berbagai jenis Adat Istiadat Diraja Kelantan sejak zaman berzaman. Selain daripada itu, turut dipamerkan juga pelbagai jenis tekstil, alat perhiasan diri, pakaian dan barang-barang tembaga untuk tontonan umum generasi kini dan akan datang. Bangunan ini sendiri telah melambangkan senireka bangunan dan hiasan istana kesultanan Kelantan yang terkenal.
Pada bahagian belakang bangunan istana ini terletak Balai Senjata yang mempamerkan alat-alat senjata lama Negeri Kelantan seperti keris, lembing, badik, kelewang dan lain-lain.
Selain itu, muzium adat ini juga ditubuhkan bertujuan untuk memelihara dan mengekalkan bangunan lama yang bersejarah, iaitu Istana Jahar, disamping untuk menampilkan pengetahuan mengenai adat istiadat Diraja di zaman dahulu.
4. Menara Rehal Sultan Ismail Petra
Pintu Kota Sultan Ismail Petra
Nama Pintu Kota diambil sempena nama Sultan Islamil Petra. Nama penuh baginda adalah Sultan Ismail Petra Ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra.
Pintu Kota Sultan Ismail Petra merupakan simbol Negeri Kelantan yang terkenal sehingga ke hari ini. Terdapat beberapa monumen dan bangunan bersejarah yang berdekatan dengan Pintu Kota Sultan Ismail Petra seperti istana Jahar dan Balai Besar yang mempunyai kisahnya tersendiri.
Kebiasaannya pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar berlatarbelakangkan pintu gerbang ini.
5. Pasar Wakaf Che Yeh
Apabila berkunjung ke Kota Bharu, mungkin ada yang tak tahu, apa aktiviti yang sesuai dilakukan pada waktu malam?
Selain hanya berehat di homestay ataupun dibilik hotel sambil menonton TV, apa kata anda luangkan sedikit masa untuk kunjungi Pasar Malam Wakaf Che Yeh.
Pasar malam ini juga adakalanya dipanggil sebagai Uptown Wakaf Che Yeh. Bagi mereka yang biasa mengunjungi mana-mana uptown sebelum ini, maka tempat ini pasti tidak asing lagi bagi anda.
Pasar malam ini beroperasi setiap hari dari jam 7.00 petang hingga ke 2.00 pagi. Namun jika pelanggan masih ramai, ada banyak peniaga-peniaga disini yang akan melanjutkan waktu operasi.
Ada terlalu banyak barangan yang dijual di pasar malam Wakaf Che Yeh ini, seperti barangan permainan, kasut, baju t-shirt, seluar jeans, aksesori, jersey, kain pasang, telekung dan banyak lagi.
Ada juga bahagian dalam pasar ini yang menjual makanan dan minuman. Makanan tradisi masyarakat Kelantan juga boleh diperolehi disini.
Pasar ini juga agak besar dan saya syorkan anda memperuntukkan sekurang-kurangnya 2 atau 3 jam untuk bersiar-siar didalam ini. Lebih seronok kalau anda bawa duit shopping!
Untuk parking kenderaan, saya syorkan anda parking sahaja di tempat parking berbayar. Bayaran yang dikenakan pada waktu saya datang kesini ialah RM3 sahaja. Tapi kalau anda sanggup berpusing-pusing cari tempat parking, silakan. Mana tahu, ada rezeki anda jumpa tempat parking yang percuma.
Wakaf Che Yeh ini terletak lebih kurang 3KM dari Homestay Kota Bharu Inap Ayahandabonda tempat saya menginap.
Tapi kalau anda lebih suka untuk menginap di hotel yang boleh berjalan kaki untuk ke pasar malam Wakaf Che Yeh ini, mungkin boleh pilih Dynasty Inn Wakaf Che Yeh ini.
6. Bazar Tok Guru
Bazar Tok Guru ini merupakan satu lagi lokasi yang anda boleh kunjungi bagi tujuan membeli belah.
Terlindung dari sinaran terik matahari, anda boleh luangkan masa beberapa jam untuk melihat sendiri barang-barang yang dijual disini. Walaubagaimanapun, anda mungkin akan dapati barangan yang dijual disini ada persamaan dengan barangan yang dijual di Pasar Malam Wakaf Che Yeh dan juga di Pasar Besar Siti Khadijah.
Jadi apa kata anda survey dulu harga untuk dapatkan tawaran harga terbaik untuk barangan yang anda berkenan untuk bawa pulang.
Bazar ini dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
7. Pantai Cahaya Bulan
Pantai Cahaya Bulan atau lebih dikenali dengan singkatan PCB merupakan pantai yang cukup terkenal bukan sahaja di Kota Bharu, malahan di Kelantan.
Pantai ini cukup istimewa kerana kawasan pantainya yang panjang dan lebar selain memiliki pasir yang cantik dan air laut yang cukup jernih.
Satu masa dulu, pantai ini dikenali dengan nama Pantai Cinta Berahi. Nama tersebut diberikan oleh seorang askar British ketika dia dipantai ini semasa perang dunia ke dua. Pada ketika itu, askar tersebut sedang menderita akibat cintanya tidak berbalas. Sesetengah penduduk tempatan masih menggunakan nama asal pantai ini pada hari ini, walaupun mereka lebih biasa menggunakan istilah PCB untuk merujuk kepada pantai ini.
Sayangnya saya tak dapat nak stay lama pada waktu saya datang ke sini sebab cuaca tak begitu mengizinkan.
Tak sampai 15 minit saya sampai di Pantai Cahaya Bulan, waktu tu keadaan cuaca dah menunjukkan tanda-tanda akan berlaku ribut. Angin mula bertiup dengan begitu kencang dan menerbangkan pasir-pasir halus hingga ada yang hinggap dikelopak mata.
Sebenarnya Pantai Cahaya Bulan ini merupakan satu pantai yang cukup meriah. Disini terdapat pelbagai kemudahan yang tersedia untuk keselesaan pengunjung yang datang ke sini.
Terdapat banyak kemudahan seperti hotel, chalet, homestay, tandas awam, pelbagai pilihan kedai makan dan banyak lagi.
Tempat parking berbayar juga ada disediakan disini, atau anda juga boleh parking ditempat kosong berhadapan dengan kawasan pantai. Justeru, bagi mereka yang memang merancang untuk bercuti ke Kota Bharu, jangan lupa untuk luangkan sedikit masa untuk ke PCB ya.
8. Pantai Senok
Jom kita jelajah ke Pantai Senok, Kota Bharu.
Pantai Senok merupakan salah satu pantai yang cukup popular dalam kalangan penduduk setempat dan juga pengunjung yang datang bercuti ke Kota Bharu, Kelantan.
Pantai ini menyajikan pemandangan yang sangat indah dan kerap kali dijadikan lokasi photoshoot untuk pengantin baru.
Selain itu, pantai ini juga sinonim dengan panggilan Pulau Nami (Nami Island) Malaysia.
Nota: Nami Island adalah sebuah pulau yang terletak di negara Korea Selatan.
Dekat Pantai Senok ini, ditanam ribuan pokok rhu yang fungsinya untuk melindungi pantai ini daripada hakisan.
Selain dapat melindungi dari hakisan, pokok rhu ini juga menjadikan tempat ini sangat cantik dan memberikan tempat berteduh kepada para pengunjung yang ingin berkelah disini.
Kalau nak dapatkan gambar yang ala-ala macam di Nami Island, Korea, anda perlu ada sedikit kemahiran fotografi. At least kena tau macam mana nak cari angle, pencahayaan, editing dan sebagainya.
Apapun, tanpa kemahiran editing pun kita masih lagi boleh menikmati pemandangan yang cukup menarik.
Suasana disini memang cukup tenang dan tidaklah sesibuk seperti di Pantai Cahaya Bulan.
Pantai Senok terletak lebih kurang hanya 20KM dari Rumah Tamu AyahandaBonda, Kota Bharu.
Homestay di Kota Bharu ini adalah homestay yang sama dimana saya menginap sewaktu percutian ini. Memandangkan matlamat asal percutian ini bukanlah untuk beriadah dipantai, keputusan untuk menginap dikawasan bandar memang sangat tepat.
9. Pasar Besar Siti Khadijah
Pasar Siti Khadijah ini terletak dalam kawasan Buluh Kubu, Pusat Bandar Kota Bharu. Pada asalnya, pasar ini dikenali dengan nama Pasar Besar Buluh Kubu.
Pasar ini mula dibuka pada tahun 1985 dan perasmiannya disempurnakan oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan.
Pada tahun 1997, Menteri Besar Kelantan pada ketika itu, iaitu Y.A.B Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat menukar nama pasar ini kepada Pasar Siti Khadijah iaitu sempena mengambil nama isteri rasulullah SAW yang tercinta Saidatina Khadijah, yang juga merupakan seorang usahawan yang berjaya dizamannya.
Penukaran nama ini juga merupakan satu lambang penghormatan kepada kaum Hawa yang merupakan majoriti peniaga di pasar ini.
Pasar Besar Siti Khadijah ini mempunyai tiga tingkat.
Tingkat yang paling bawah sekali dikhususkan untuk barang-barang basah seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran, buah-buahan dan juga barangan runcit.
Dekat tingkat satu pula pengunjung boleh dapatkan bekalan barang-barang kering, contohnya seperti serunding, pelbagai jenis keropok, dan macam-macam lagi.
Manakala dekat tingkat dua dan tiga, kita boleh beli pelbagai jenis barang seperti baju, alat mainan, telekung, kain pasang untuk buat baju kurung, kain sutera dan macam-macam lagi.
Kalau anda ada perancangan untuk membeli-belah disini, saya syorkan anda lakukan tawar-menawar terlebih dahulu sebelum terus bayar harga yang diminta. Saya dapati kebanyakkan barangan yang dijual disini boleh ditawar harganya.
Bukannya saya nak kata, kalau beli barang kat sini mesti kena tawar-menawar. Tak… bukan macam tu. Kalau anda nak terus bayar pun tak ada masalah. Cuma saya dapati, sepanjang saya jalan-jalan dekat pasar ini, kebanyakkan peniaga memang akan turunkan sedikit harga kalau kita betul-betul serius nak beli.
10. Restoran Nasi Kerabu Panji
Datang bercuti di Kelantan, kalau tak makan nasi kerabu rasanya memang tak lengkap.
Dekat sekitar Kota Bharu ini memang ada terdapat banyak restoran nasi kerabu. Tapi mana satu yang betul-betul sedap ye? Actually kalau nak tau mana satu kedai nasi kerabu yang sedap dekat Kota Bharu ini, kita kena cuba semua.
Selera setiap orang kan lain-lain.
Personally saya berpendapat memang ada kelainan dari segi rasa, kalau nak bandingkan nasi kerabu yang biasa dijual ditempat asal saya, iaitu di Selangor dengan yang original dari Kelantan.
Jadi apa lagi, cubalah rasa sendiri!
Best tempat ini sebab cuma lima minit je dari homestay tempat saya menginap.
11. Kopitiam Kita
Kalau anda mencari menu sarapan pagi yang unik, yang memang tak ada ditempat lain, maka Kopitiam Kita adalah salah satu tempat yang memang anda patut kunjungi.
Pengunjung sanggup beratur walaupun panjang untuk menikmati juadah sarapan pagi yang ditawarkan di restoran ini. Walaupun perlu beratur panjang, anda tak perlu risau sebabnya servis yang diberikan sangat pantas!
Dekat bahagian dalam juga ada banyak kerusi dan meja untuk pelanggan.
Roti Titab inilah yang menjadi menu utama di Kopitiam Kita.
Ia merupakan sekeping roti bakar berbentuk empat segi yang agak tebal. Ditengahnya terdapat sebiji telur separuh masak dan disetiap penjuru diletakkan kaya menggunakan resipi sendiri.
Memang sedap dan puas hati! No wonder ramai pengunjung memenuhi kopitiam ini. Selesai sarapan pagi disini, boleh terus ke Pasar Besar Siti Khadijah memandangkan pasar tersebut terletak berhampiran.
12. Singgora Hor
Siapa yang menyangka, jauh dikawasan pedalaman yang agak tersembunyi rupanya terdapat sebuah tempat makan yang begitu unik kerana menampilkan senibina Melayu Tradisional.
Menu juadah yang disajikan juga begitu istimewa, iaitu masakan tradisional masyarakat Kelantan.
Ada ayam kampung yang digoreng, ikan bakar, siput sedut masak lemak, udang masak sambal, telur dadar, sayur masak lemak, sambal kechupu, ulam-ulaman dan budu. Aroma dan rasa masakkannya pasti membangkitkan selera.
Restoran ini tidak menerima pelanggan yang walk in. Jika ada yang ingin mencuba pengalaman makan tengahari di restoran ini, perlu membuat tempahan lebih awal.
Apa maksud Singgora?
Soalan ini bermain-main difikiran saya, sebaik sahaja saya mengetahui nama tempat ini dikenali sebagai Singgora Hor. Hor itu besar kemungkinan merujuk kepada nama tempat ini, iaitu terletak di Pasir Hor. Tapi… Singgora tu apa benda?
Rupa-rupanya singgora tu merujuk kepada atap singgora.
Ia merupakan cara pembuatan atap yang agak unik dan jarang dilihat digunapakai.
Apapun, kesempatan untuk makan tengahari disini merupakan satu pengalaman manis yang tak mungkin saya lupakan. Kalau anda ada kesempatan, mungkin boleh rasai sendiri pengalaman tersebut.
13. Restoran KST Selera Ikan Bakar
Sepanjang pemanduan di sekitar Kota Bharu, anda akan perasan ada sekurang-kurangnya tiga buah restoran yang menggunakan nama KST Selera Ikan Bakar.
Kalau anda membuat pembacaan diinternet, anda juga akan dapati restoran ini adalah antara restoran yang memang sering disyorkan untuk kita kunjungi, jika ingin menikmati menu ikan bakar.
Pengunjung boleh memilih sendiri jenis ikan yang hendak dibakar. Selain itu, boleh juga pilih sama ada nak jadikan makanan yang ditempah sebagai satu set hidangan atau menu ala-carte.
Sebenarnya apa yang buatkan saya cukup tertarik dengan restoran ini adalah pilihan ulam-ulaman yang disediakan. Semuanya segar-segar dan nampak sedap belaka.
Ada juga daun-daun yang saya tak kenal apa namanya, tapi sedap pula bila dimakan.
Ini set yang kami tempah. Boleh makan untuk 4 orang.
Daun yang warna ungu tu sedap. Rasanya rangup bila dikunyah. Ini merupakan pengalaman kali pertama saya makan daun ulam tersebut. Saya tak pernah jumpa daun yang sama dijual di Selangor.
Restoran ini terletak berdekatan dengan Pasar Malam Wakaf Che Yeh. Selesai makan malam disini, anda boleh jalan kaki sahaja untuk ke pasar malam tersebut.
Baiklah, senarai yang saya kongsikan disini adalah antara tempat menarik yang terdapat di Kota Bharu yang saya sendiri sempat kunjungi. Kalau diikutkan, sebenarnya tempoh 3 hari 2 malam memang tak cukup kalau nak menjelajah keseluruhan tempat menarik di Kota Bharu ini.
Tapi siapa tahu, pada masa akan datang, apabila ada kesempatan lain In Shaa Allah saya akan cuba kunjungi lain-lain tempat pula.
Terima kasih kerana anda sudi membaca perkongsian ini dan semoga bermanfaat. Saya ucapkan selamat bercuti ke Kota Bharu, Kelantan.
[…] Yang penting, dari homestay ini nak keluar ke jalan besar, sangat mudah. Lokasi pun sangat baik, sebab homestay ini terletak berdekatan dengan banyak tempat menarik di Kota Bharu. […]