Selesai solat Subuh di bilik, saya sambung tidur. Rasa penat masih belum hilang.
Tapi hari ini, kami tak boleh tidur lama-lama, sebab pagi tu dah plan nak buat aktiviti snorkeling. Sekitar jam 7.45 pagi, kami dah turun ke cafe hotel untuk sarapan pagi.
Pihak Anjungan Beach Resort memang ada menyediakan sarapan pagi kepada para pengunjungnya. Ini merupakan salah satu sebab kenapa kami pilih untuk menginap di hotel ini, dan bukannya buat tempahan melalui Airbnb seperti kebiasaan.
Saya share sikit menu sarapan pagi yang kami ambil.
Saya ambil mee goreng, ada bebola ayam, ketam dan scramble egg.
Isteri saya pula ambil pancake, kacang panggang dan selebihnya saya pun tak tahu apa namanya.
Lepas tu ambil salad dan yogurt pula.
Untung bila keluar awal untuk breakfast ni sebab ada macam-macam pilihan tersedia. Pukul 7.45 tu pun sebenarnya dah agak ramai pengunjung yang keluar untuk sarapan pagi.
Masa untuk sarapan ini diperuntukkan sampai jam 10.30 pagi sahaja. Kalau keluar lambat, terpaksalah makan apa yang ada sahaja. Kalau nak sarapan pagi yang best, menginaplah di Anjungan Beach Resort ya.
Selesai sarapan pagi, saya balik ke bilik dulu untuk tukar pakaian yang sesuai untuk buat aktiviti snorkeling pula.
Saya baru tahu, yang rupa-rupanya jadual untuk kita buat aktiviti snorkeling di Pulau Pangkor ni sebenarnya sangat fleksibel. Kita sendiri yang tentukan, pukul berapa kita nak pergi ke pulau yang kita boleh buat snorkeling dan berapa lama kita nak habiskan masa dekat tempat tu.
Bila nak balik nanti, just call sahaja beach boy yang hantar kita pergi ke tempat snorkeling tu. Nanti dia akan datang ambil kita. Jangan risau tentang line telefon, sebab dekat tempat tu memang line dia cantik.
Pulau untuk kita buat snorkeling pun dekat sahaja dengan Teluk Nipah. Naik bot saya rasa tak sampai 15 minit dah sampai ke tempat snorkeling. Pulau tu boleh nampak dari Teluk Nipah. Saya ada baca dekat blog orang lain, yang sebenarnya kalau kita nak berkayak ke pulau tu pun boleh.
Inilah tempat yang kami dibawa untuk snorkeling di Pulau Pangkor.
Ada laluan untuk bot keluar dan masuk ke pulau, dan diantaranya disediakan pembahagi. Kalau tak nak rasa terganggu dengan pergerakkan bot, pastikan jangan lebih dari sempadan yang ditetapkan.
Pulau ini ada banyak batu-batu besar.
Dekat celah-celah batu tu, atau dekat mana-mana tempat yang agak tersembunyi bolehlah kita simpan barang peribadi kita.
Ada juga beberapa tempat yang agak teduh terutama sekali yang terlindung dengan pokok-pokok besar.
Ada juga yang pilih untuk duduk tepi-tepi batu besar, sebab nak berteduh dari sinaran matahari.
Tempat yang kita boleh buat snorkeling dekat sini ada dua. Satu dekat bahagian yang saya kongsikan diatas tu. Atas ini adalah laluan masuk bot yang saya naikki untuk ke pulau ini.
Satu lagi, dekat bahagian yang satu lagi. Lebih kurang macam pintu belakang untuk pulau ni.
Saya perhatikan, dekat bahagian ini lebih ramai orang buat aktiviti snorkeling berbanding yang satu lagi.
Boleh jadi sebab kawasan ini lebih luas dan tak banyak batu-batu besar dekat dasar laut.
Settle ambik gambar, now masa untuk saya terjun ke dalam laut pula.
Lagi lama duduk kat pulau ni, lagi panas cuaca. Kalau duduk lama sangat, nanti makin teruk pula kena sun burn.
Oh by the way, trip kali ini saya tak bawa action camera bersama. Jadi saya tak dapat nak ambil gambar dalam dasar laut. Cuma saya nak kongsikan gambar yang saya ambil dari tebing sahaja.
Cuba tengok dekat permukaan batu. Ada banyak batu-batu kecik, yang sebenarnya adalah kulit kerang yang melekat pada batu.
Kalau anda nak tahu, kulit kerang yang melekat pada permukaan batu ni tajam tau. Kebanyakkan orang yang buat aktviti snorkeling ni, saya perhatikan ramai yang berkaki ayam.
Boleh jadi cuma saya dan isteri sahaja yang memakai snorkeling shoes.
Masalah bila berkaki ayam ni, tapak kaki kita ni pada bila-bila masa boleh terpijak kulit kerang yang tajam dan terkoyak. Masa kena tu mungkin anda tak perasan, sebab duduk dalam air.
Tapi bila naik ke darat, dengan cuaca yang panas, masa tu baru perasan ada rasa pedih-pedih dekat tapak kaki. Tau-tau darah meleleh je dekat tapak kaki. Masa tu barulah nak rasa panik, sebab darah tak berhenti mengalir.
Saya cakap semua ini sebab kejadian ini memang berlaku depan mata saya. Bukan seorang yang kena, ada beberapa orang. Masa dia berjalan dalam air dekat perairan yang lebih cetek, dia tak perasan yang dia terpijak batu yang ada kulit kerang yang tajam.
Masa kena tu cuma rasa terkejut je. Tapi bila naik ke darat, masa tu baru mula sakit. Apa pun, kalau anda sayangkan kaki anda, saya cadangkan anda invest sikit duit untuk beli kasut snorkeling.
Kalau tengok dekat laman web Lazada ini, harganya tak sampai pun RM10. Kasut ni lembut macam stoking, tapi dekat bahagian tapak kaki dia ada pelindung dan lebih tebal.
Saya sendiri beberapa kali terpijak batu yang tajam masa buat snorkeling ini, mujur ada kasut ini, jadi kaki saya tak terluka sikit pun.
Kasut ni tahan lama. Setiap kali nak buat aktiviti snorkeling saya mesti akan bawa kasut ini. In fact, even kalau just nak mandi pantai pun saya pakai selipar ini. Safety first. Masa mula-mula pakai tu memang rasa macam tak biasa, tapi lama-lama ok dah.
Kalau anda tak nak beli online, boleh beli dekat Decathlon. Lebih senang nak cari saiz kalau beli dekat kedai.
Agak-agak rasa dah boring buat snorkeling, saya terus call beach boy yang hantar kami ke pulau ini. Tunggu dia sampai dan lepas tu, dia bawa kami bersiar-siar sambil meninjau tarikan yang terdapat di sekitar pulau-pulau berhampiran.
Ini crocodile rock.
Tempat ini dipanggil Crocodile Rock sebabnya terdapat batu disini yang kelihatan seperti kepala seekor buaya yang sedang bersantai. Bahagian badan tak kelihatan sebab berada dalam air laut.
Kemudian ini pula Turtle Rock.
Batu disini kelihatan seperti badan seekor penyu yang ingin naik ke daratan.
Seterusnya kami dibawa untuk melihat Whale Rock.
Lihat batu yang sebelah kanan. Kalau lihat dari jauh seperti ada seekor ikan paus sedang terdampar atas permukaan laut, dan pokok yang tumbuh diatas batu itu pula ibarat seperti pancutan air yang keluar menerusi rongga ikan paus tersebut.
Ya, memang kena ada imaginasi yang agak tinggi untuk nampak bentuk-bentuk haiwan yang dinyatakan.
Ok dah melawat pulau-pulau kecil yang ada disekitar Pangkor, masa untuk kami naik ke darat. Saya rasa, saya habiskan masa lebih kurang satu jam sahaja untuk aktiviti snorkeling.
Entah kenapa, masa buat aktiviti tu kepala rasa pening tekak pula rasa loya. Macam mabuk laut pulak. Padahal sebelum ini, saya buat snorkeling dekat Pulau Payar dan snorkeling dekat Pulau Manukan, tak pernah pula rasa loya-loya macam ni.
Sebelum tengahari, saya dah naik ke darat.
Masa masih panjang lagi. Selesai snorkeling, baru saya cari motosikal untuk disewa. Untuk makluman anda, motosikal sewa saya dapatkan dari tempat yang sama saya dapatkan pakej snorkeling.
Dekat sekitar Teluk Nipah tu juga, ada kaunter yang tawarkan perkhidmatan motosikal sewa. Macam biasa, sebelum nak sewa motosikal tu, pastikan
i. Anda dapat helmet
Helmet tu kalau boleh kena pastikan ada dua.
ii. Motosikal berada dalam keadaan baik
Ambil gambar sebelum anda ambik motosikal tu. Pastikan cermin pandang belakang dan meter minyak berfungsi dengan baik. Tayar dan brek berada dalam keadaan elok.
iii. Simpan nombor telefon pemilik
Kalau berlaku sebarang perkara yang tak diingini, atau ada kecemasan boleh telefon sahaja untuk bantuan segera.
Kos untuk sewa motosikal ini ialah RM50 sahaja untuk penggunaan selama sehari ataupun lebih kurang 24 jam. Masa saya ambik motosikal ni, saya memang ada bagitahu yang saya akan guna sampai waktu saya check out nanti.
Sempoi betul orang yang sewakan motosikal ni dekat saya. Dia langsung tak tanya saya ada lesen ke tak, pandai bawa ke tak, dan tak ada sebarang borang untuk diisi. Resit pun tak ada. Just bayar dekat dia RM50, lepas tu pulangkan balik dalam keadaan baik keesokkan harinya.
Saya malas nak panjang-panjangkan cerita. Cuma berharap semoga semuanya berjalan dengan lancar dan tak ada sebarang perkara yang buruk berlaku.
Aktiviti untuk mengisi waktu petang adalah bersiar-siar sekitar pulau dengan menaiki motosikal. Tapi sebelum tu, saya isi perut dulu.
Saya harap dapat makan nasi campur, tapi sayangnya lauk dan sayur dah habis. Jadi saya order je nasi goreng paprik dan nasi goreng sotong. Saya makan dekat kedai yang sama macam hari semalam masa tengok pemandangan matahari terbenam. Harganya RM22 sahaja.
Masa tengah makan tu, terperasan ada burung hornbill.
Burung ni ada banyak juga dekat sekitar Teluk Nipah ini.
Malahan ada satu resort yang diberi nama Hornbill Resort Pangkor.
Kalau anda nak tengok-tengok gambar, dan baca review pengunjung yang pernah menginap di Hornbill Resort ini, bolehlah ke halaman ini ya. Manalah tahu, nanti anda nak bercuti ke Pangkor, boleh book siap-siap.
Kenderaan yang sesuai digunakan kalau nak ronda-ronda sekitar Pulau Pangkor adalah motosikal. Kebanyakkan motosikal yang disewa adalah jenis skuter.
Jalanraya yang ada di Pulau Pangkor hanya satu lorong sahaja. Kawasannya berbukit-bukit, ada selekoh yang sangat tajam, dan laluan yang curam.
Saya tak dapat nak bayangkan, betapa lecehnya kalau nak memandu kereta dekat Pangkor dengan keadaan jalan yang macam ini.
Dengan fikir mana nak parking lagi.
Kalau naik motosikal lebih mudah. Agak-agak rasa macam tempat tu menarik dan rasa nak singgah, boleh terus berhenti dan parking motor tepi jalan.
Ini salah satu tempat yang saya singgah agak lama.
Tempat ini di Telok Gadong. Dekat situ ada perkampungan melayu dan ada banyak juga bot-bot nelayan terdapat disitu.
Saya suka suasana dan pemandangan dekat tempat ini.
Rasa tenang. Kebetulan cuaca tak begitu panas, jadi saya duduk agak lama di jeti ini.
Ada juga beberapa tempat lain yang nampak menarik, tapi saya tak singgah pun. Just lalu dan ambil gambar.
Misalnya Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu ini.
Saya lalu depan tempat ini beberapa kali sepanjang saya bersiar-siar di Pangkor. Tapi memandangkan tempat ini macam dalam pembinaan, saya rasa macam tak sesuai untuk singgah ke sini.
Saya pun sebenarnya baru tahu, yang rupa-rupanya dekat Pangkor ini juga ada lokasi penyu mendarat. Kalau anda bernasib baik, boleh jumpa anak-anak penyu di tepian pantai di Pangkor ini. Itu pun kalau bernasib baik la.
Kemudian ada juga jumpa Pusat Pemprosesan Hasil Ikan – Sate Ikan Pak Su Enterprise
Tak singgah juga. Cuma lalu depan je. Tengoklah nanti andai kata ada rezeki nak datang bercuti ke Pulau Pangkor lagi, masa tu baru singgah ke tempat ini.
Rumah Rehat Kerajaan Negeri dekat Teluk Dalam.
Pemandangan dari luar nampak cantik juga.
Sepanjang saya bersiar-siar sekitar Pangkor, saya lebih kerap jumpa motosikal berbanding kereta atau lain-lain jenis kenderaan. Lagi mudah untuk bergerak, agaknya.
Satu perkara yang menarik perhatian saya, kebanyakkan penunggang motosikal kat sini tak pakai helmet pun. Boleh jadi orang tempatan kalau nak pergi mana-mana memang biasa tak pakai helmet.
Kalau nak bezakan antara penduduk setempat dengan orang luar, tengok dia pakai helmet ke tak masa naik motosikal.
Waktu petang tu, saya sempat singgah di Pantai Pasir Bogak.
Pantai ini merupakan satu lagi pantai peranginan yang terkenal dan menjadi pilihan orang ramai yang nak bercuti di Pangkor.
Dekat sini juga ada macam-macam kemudahan seperti tempat penginapan, tandas awam, pelbagai restoran dan banyak lagi.
Saya ada plan nak stay dekat Pasir Bogak sambil melihat pemandangan matahari terbenam. Tapi itulah, saya rasa macam view dia kurang menarik. Lagi satu, saya nak balik sebelum gelap. Masa ni saya masih belum yakin nak bawa motor pada waktu malam.
Sebelum masuk waktu maghrib saya balik ke Anjungan Beach Resort di Teluk Nipah.
Teringin juga nak rasa pengalaman makan malam di tepi pantai. Ada banyak juga kedai-kedai makan di Teluk Nipah yang menyusun meja makan betul-betul tepi pantai.
Saya singgah sekejap dekat kedai nombor 3 ini. Masa tu saya datang dengan motosikal.
Ada beberapa set yang kita boleh pilih. Jadi saya pilih set A yang harga RM50. Tapi saya tak naklah makan ikan siakap, sebab dekat rumah pun saya biasa makan ikan siakap. Jadi saya minta tukar ikan lain dan tanya harga.
Selepas tawar menawar, saya dapat harga RM80 untuk set yang sama. Bezanya cuma tukar ikan, tapi kena tambah duit RM30 lagi. Ini ikan yang saya pilih.
Saya tak ingatlah apa nama ikan ni. Penjual tu ada sebut namanya. Tapi ikan ini bentuknya lebih kurang sama dengan Parrot Fish atau ikan nuri, yang saya pernah makan masa bercuti kat Sabah dulu.
Anda rasa mahal ke murah harga tu? Saya rasa harganya mahal, tapi tak apalah, sebab ini merupakan malam terakhir percutian di Pangkor, apa salahnya belanja lebih sikit untuk makan malam.
Tauke kedai ini suruh saya parking motor tepi jalan, tapi saya kata saya tak nak parking situ. Saya nak parking dekat hotel je, sebab jaraknya sangat dekat. Cuma perlu melintas jalan sahaja. Lagipun saya bimbang kalau lewat, nanti tempat parking motor dah tak ada pula.
Lepas letak motor, saya datang balik ke kedai makan tersebut dengan segera. Saya sempat ambil beberapa keping gambar dan berbual-bual dengan tukang ambil order, iaitu Mak cik yang jaga kaunter ikan. Kemudian saya terus pergi ke meja tempat isteri saya menunggu.
Satu jam berlalu.
Menu yang saya order masih belum muncul. Kelihatan dekat meja lain, pelanggan lain yang datang lebih lewat tengah syok menjamu selera. Saya jadi pelik. Tak kan nak bakar ikan pun ambil masa sampai satu jam?
Saya mula rasa macam ada yang tak kena.
Saya datang balik dekat kaunter, dan tanya apa status order saya? Dukacita. Menurut pekerja kat situ, saya tak order apa-apa. Kalau saya tak order apa-apa, macam mana pekerja situ boleh hantar minuman dekat meja saya! Saya rasa macam tak boleh terima! Punya lama saya tawar-menawar harga, kemudian dah pilih ikan, tiba-tiba mereka kata saya tak confirm order.
Alasannya, sebab saya balik hotel. Dia ingat saya tak jadi order. Ya, saya memang balik hotel, itupun untuk parking motosikal. Tak sampai lima minit saya datang balik. Waktu saya hantar motosikal untuk parking, isteri saya tunggu dekat restoran.
Dia takut, kalau saya tak jadi order, nanti mereka yang rugi.
Rasa memang tak masuk akal. Mungkin saya patut tanya, nak kena bayar duit deposit dulu ke tak?
Tauke restoran cuba tenangkan saya. Mungkin dia nampak betapa saya kecewa dengan layanan yang diberikan. Macamlah kedai tu ramai sangat pelanggan. Dia kata, kalau saya boleh tunggu, dia akan sediakan order saya sekarang juga.
Ah… masa tu saya dah hilang selera. Satu jam masa terbuang untuk menunggu order yang tak ada siapa sediakan cukup menyakitkan hati.
Cerita lebih-lebih pun tak guna. Bimbang nanti, ada yang fikir saya nak jatuhkan bisnes orang kita. Tapi saya harap pembaca cukup cerdik untuk membezakan, menjatuhkan bisnes dengan perkongsian pengalaman. Dah nama judul perkongsian ini pun travelog, jadi saya ceritalah apa yang berlaku pada saya.
Balik ke bilik, saya selesaikan dulu apa yang wajib. Rasa kenyang walaupun petang tu belum menjamah sebarang makanan. Tapi saya tahu, sebenarnya saya bukannya kenyang, tapi kecewa.
Nanti-nanti bila perasaan tu berlalu, saya pasti akan lapar. Saya mula buka Google Map dan juga applikasi waze. Saya cuba cari tempat makan yang mungkin saya boleh pergi malam tu. Jumpa satu tempat yang nampak promising.
Selera Teluk Dalam.
Lokasinya tak berapa jauh dengan tempat saya menginap. Jaraknya lebih kurang 2KM sahaja, dan kalau naik motor, tak sampai 5 minit dah boleh sampai.
Restoran ini menghidangkan pelbagai menu dan apa yang buat saya tertarik untuk kesini adalah menu Shell Out.
Dari segi harga, saya rasa harga makanan di restoran ini lebih murah berbanding di Teluk Nipah. Mesra bajet.
Semasa saya datang ke sini, restoran ini tak begitu ramai orang, mungkin sebab lokasinya yang agak jauh dari pantai peranginan ataupun mungkin sebab hari tersebut bukan hari orang datang bercuti ke Pangkor.
Kalau saya tahu, baik awal-awal lagi terus set untuk ke sini.
Tak payah nak tunggu sampai satu jam, apa yang di order telah siap dan dihantar kemeja kami.
Selesai makan, lebih kurang 9.30 malam. Belanja untuk makan pada malam tu, RM37.20 sahaja. Ya, ada hikmah tak jadi makan ikan bakar yang mahal tu.
Masa tu saya sengaja makan perlahan-lahan, pertama sebab nak nikmati hidangan yang disediakan dan kedua sebab malam tu hujan.
Great. Dah la datang dengan motorsikal, lepas tu hujan pula.
Lebih kurang pukul 9.30 malam macam tu baru hujan reda. Nak terus balik bilik, macam masih awal. Malam masih muda, kononnya.
Saya tanya dekat isteri, “nak tak pusing Pulau Pangkor?”
“Nak!” Balasnya.
“Berani ke? Gelap ni. Tapi siang tadi rasa macam ada banyak lampu jalan. Mungkin tak gelap sangat kot…”
Dipendekkan cerita, kami redah je kegelapan malam untuk bersiar-siar sekitar Pangkor. Mula-mula tu ok je, sebab memang kebanyakkan jalan di Pangkor, ada lampu jalan. Jadi tak ada gelap sangat.
Tapi kami silap. Di pertengahan jalan, rupa-rupanya ada tempat yang lampu jalan tak dipasang. Memang gelap pekat. Waktu tu memang tak ada sesiapa yang guna jalan tu, kecuali motorsikal yang dinaiki oleh saya dan isteri.
Masing-masing senyap tak kata apa-apa. Mudah-mudahan sepanjang jalan nanti, tak ada gangguan dari haiwan liar ataupun entiti yang kita tak nampak.
Kalau nak patah balik, rasa macam lebih jauh. Lagipun tak adventure la kalau patah balik. Nak sangat explore suasana Pulau Pangkor waktu malam, kan. Lagipun, bila lagi nak rasa pengalaman tu.
Alhamdulillah, semuanya selamat.
Cuma saranan saya, kalau tak yakin nak pusing pulau Pangkor waktu malam, lebih baik jangan buat. Kalau saya tahu, ada kawasan yang lampu jalan tak menyala, mungkin saya tak akan buat kerja gila ni.
“Abang ada nampak apa-apa tak masa bawa motor tadi?” Isteri saya tanya.
“Entah… ada kot…” Saya menjawab.
Saya pun tak pasti, apa benda yang saya nampak. Macam bebola. Atau mungkin sekadar permainan cahaya. Hmm entahlah.
Apapun, yang penting semuanya selamat, dan dah selamat balik bilik. Alright, tutup cerita hari kedua di Pulau Pangkor. Esok pagi, nak kena bangun awal, nak makan sarapan kenyang-kenyang, dan lepas tu nak singgah beberapa tempat yang tak sempat nak pergi.
Mahfuzah says
Thank you for sharing. Baru berangan nak pergi Pangkor lepas habis musim covid ni.
Sabree Hussin says
Pergilah bercuti kat sini. Naikkan balik industri pelancongan dalam negara. Tolong bagi bisnes kat para usahawan yang ada kat sini. Kesian diorang, time covid ni income drop banyak