Bila kali terakhir anda buat aktiviti Jungle Trekking? Atau hiking? Kalau dah lama tak buat, atau tak pernah buat, mungkin boleh mulakan semula, atau belajar-belajar untuk mulakan.
Dalam kunjungan saya ke Sungai Tekala sebelum ini, saya perasan yang kat sini rupa-rupanya ada trek untuk kita buat aktiviti Jungle Trekking.
Laluan masuk dia sama macam laluan untuk ke tempat riadah.
Cuma perlu gerak ke depan sedikit, dan anda akan jumpa jambatan yang pertama.
Jambatan ini akan membawa anda masuk ke laluan untuk buat aktiviti jungle trekking. Sebelum nak mulakan aktiviti ini, pastikan anda ada maklumkan kepada pegawai yang bertugas dulu.
Kalau ikut apa yang tertulis pada papan tanda, laluan atau trek hutan ini tidaklah begitu jauh. Hanya 1.5km sahaja.
Kita akan bermula dengan kawasan yang dipanggil Denai Jelutong.
Sepanjang perjalanan, kita akan temui check point atau perhentian-perhentian. Ini bagi menandakan kita tak salah laluan.
Bila sampai kat mana-mana perhentian, ambillah sedikit masa untuk baca apa yang ditulis. Ilmu tu.
Memang patut pun hutan ni dipanggil Hutan Lipur dan Hutan Pelajaran Sungai Tekala. Saya nak kongsikan serba sedikit yang saya baca tentang hutan.
Pengenalan Jenis Hutan
Secara umumnya, hutan terbahagi kepada 3 kelas utama iaitu Hutan Paya Laut, Hutan Paya Gambut dan Hutan Darat. Hutan lipur (Sungai Tekala) ini terletak di dalam kategori Hutan Darat. Hutan Darat pula dibahagikan kepada 5 kelas berbeza berdasarkan ketinggian kawasan.
(1) Hutan Dipterokarpa Pamah
Hutan ini terletak pada ketinggian tidak melebihi 300 meter dan mempunyai bilangan pokok yang padat dari pelbagai spesies. Meranti, Balau dan Kapur merupakan spesies utama di kawasan hutan ini.
(2) Hutan Dipterokarpa Bukit
Hutan dipterokarpa bukit merupakan jenis hutan yang paling luas di Semenanjung Malaysia dan wujud pada ketinggian 300- 750 meter. Spesies utama yang boleh dijumpai adalah Meranti Seraya, Keruing dan spesies Meranti.
(3) Hutan Dipterokarpa Atas
Hutan ini terletak di ketinggian 750 – 1,200 meter. Meranti bukit, Damar minyak, Bintangor, Keruing, Balau gunong, Balau gajah dan Meranti sarang punai antara spesies pokok yang wujud pada jenis hutan ini
(4) Hutan Oak – Gunung
Hutan jenis ini boleh dijumpai pada ketinggian 1,200 hingga 1,500 meter. Spesies utama yang boleh ditemui di hutan ini adalah Mempening, Berangan dan Medang. Spesies dipterokarpa jarang ditemui dan hanya sebilangan sahaja spesies dipterokarpa yang boleh ditemui seperti Keruing gunong dan Resak.
(5) Hutan Ericaceous – Gunung
Hutan yang terletak pada ketinggian melebihi 1,500 meter dikenali sebagai Hutan Ericaceous-Gunung. Pokok-pokok yang terdapat pada jenis hutan ini bersaiz kecil, bengkok dan rendah. Spesies dari family Ericacea mendominasi lantai hutan ini. Selain itu, buluh, paku pakis dan lumut boleh ditemui di sini.
Rujukan: Laman web rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (https://www.forestry.gov.my)
Saya tidak melakukan sebarang aktiviti trekking pada waktu saya datang ke sini.
Saya hanya menggunakan laluan bertangga yang disediakan. Walaubagaimanapun, semasa saya ikut laluan yang ini untuk cari lokasi yang lebih menarik, yang ada tempat mandi yang best, saya ada temui perhentian-perhentian yang bakal dilalui oleh mereka yang melakukan trekking disini.
Kalau ikut telahan saya, laluan trekking ini tidak begitu sukar.
Masih ada laluan mendaki sedikit, namun ia tidak terlalu sukar. Nak cakap lebih-lebih pun susah juga, sebab saya tak cuba lagi laluan ni. Tengoklah nanti, kalau ada masa, saya datang sekali lagi ke sini, just untuk buat trekking.
Ada kawasan-kawasan tertentu, laluan bertangga sudah tiada. Ia digantikan dengan laluan seperti ini. Jadi, saya agak ini adalah laluan yang akan turut dilalui kalau buat trekking di sini.
Saya dapat jumpa Perhentian 1 dengan Perhentian 10 sahaja. Jadilah. Ambik awal dengan akhir je. Ini apa yang tercatat pada perhentian 10.
Sungai merupakan sumber alam yang amat pentng kepada manusia. Sejak dahulu lagi manusia bergantung kepada sungai sebagai sumber bekalan air dan makanan. Ia juga merupakan salah satu cara perhubungan. Sungai juga menawarkan persekitaran yang sesuai untuk beriadah.
Tak jauh daripada perhentian 10 ini ada sebuah pondok disediakan. Mungkin pondok ini dibina khas untuk mereka yang buat trekking disini.
Kalau nak kata, pondok ni untuk orang yang nak piknik, lepak-lepak bersama keluarga, macam tak kot… Sebab ia agak jauh, dan air sungai kat sini juga biasa-biasa.
Sungainya cetek dan berpasir. Kalau nak mandi kat sini memang tak berapa sesuai. Nak berendam pun, nampaknya airnya tak cukup dalam.
Tapi kalau setakat nak cuci tangan, cuci muka tu, bolehlah.
Ada laluan ekspress disediakan. Kalau nak turun ikut laluan ni lebih senang. Jalannya jugak agak lapang. Rasanya motosikal pun boleh lalu.
Kalau ada hal-hal emergency, nak pergi toilet misalnya, bolehlah turun ikut laluan ni.
Ini merupakan pondok paling besar yang ada di Sungai Tekala. Macam rumah tak berapa siap pulak kan. Mungkin kalau ada yang nak buat family day, dan melibatkan ramai orang, sesuailah ambik tempat ni.
Bangunan ni, khabarnya akan dijadikan chalet atau tempat menginap. Waktu saya datang ni, tempat ni masih belum dibuka lagi.
Saya pun tak pasti, sama ada ini satu rumah yang besar, atau sebenarnya ada banyak-banyak bilik. Bila tempat ni dah buka, bolehlah menyewa dan menginap disini.
Larangan membakar di Hutan Lipur Sungai Tekala
Sebelum saya terlupa, sebenarnya untuk pengetahuan anda, pengunjung dilarang membakar di hutan lipur ini.
Saya pun rasa benda ni macam agak pelik. Kalau dilarang membakar, tak syok la nak beriadah kat sini. Kita yang dah biasa buat aktiviti panggang ayam, jadi tak syok la.
Saya sempat tanya dengan pegawai yang bertugas di kaunter masuk kalau nak buat aktiviti BBQ kat sini.
Dia kata boleh buat. Pastikan ada dapur untuk memasak.
Larangan ini merujuk kepada membuat pembakaran atas tanah, potong dahan-dahan kayu untuk buat unggun api, buat api atas akar dan atas batu.
Semua ini dilarang atas pelbagai sebab.
- Ia boleh menyebabkan berlaku tragedi kebakaran hutan yang lebih besar
- Ia boleh menyebabkan spesies pokok yang ada disitu mati
- Ia akan mengotorkan kawasan rekreasi
Kalau nak buat bakar-bakar ayam jugak, pastikan ada bawa dapur yang proper dan jaga kebersihan.
Itu saja yang saya nak kongsikan kali ini. Kalau anda masih belum baca bahagian 1 perkongsian saya tentang Sungai Tekala, bacalah artikel saya sebelum ini yang berjudul Hutan rekreasi Sungai Tekala – Apa yang menarik ada disini?
Sekiranya anda ingin mencari tempat penginapan berdekatan Hutan Lipur Sungai Tekala, anda boleh cuba cari di laman web Airbnb ini.
Leave a Reply